,,,, Welcome to my blog, hopefully memorable for you, you can contact me through endracatur@gmail.com and endra.catur @ ymail.com, thanks and you can contact me in face book with name ENDRA CATUR thanks ,,,

Rabu, 21 September 2011

Hiburan ala Islam


Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh                  membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah                  dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah Subhanahu                  wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka                  dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah                  itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
(Surah Al-Ra‘ad: 28)
Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara                  berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan,                  melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa,                  sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan                  Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu                  wa Ta‘ala.
Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan                  perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu                  kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya                  membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah                  tersebut.
Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan                  oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya                  tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur,                  lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar.                  Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang                  tafsirnya :
“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama                  Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang                  mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah                  yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap                  percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.
(Surah Al-Baqarah: 138)
Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan                  Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia                  dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya.                  Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup                  bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya.                  Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu                  orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum                  dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa                  Ta‘ala tafsirnya :
“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti,                  dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi,                  ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan                  Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.
(Surah Yunus: 6)

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah                  Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”.
(Hadis riwayat Muslim )
Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu                  boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan                  syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat                  yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi                  atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti                  akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala                  yang tafsirnya:
“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab                  suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu                  dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang                  (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya                  atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan                  mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut                  serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.
(Surah Al-Zumar: 23)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna                  imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya)                  gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya,                  menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah                  mereka berserah”.
(Surah Al-Anfaal: 2)
Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :
“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun                  gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan                  yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang,                  serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang                  Kami berikan kepadanya”.
(Surah Al-Hajj: 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti                  akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang,                  sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu                  hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan                  bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang                  berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih                  hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi                  wasallam bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa                  sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :
"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita,                  wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”.
(Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar